Saturday, April 14, 2012

Profil Pejabat Ketua Pendaftar - Profil Ketua Pendaftar


Dato' Hashim Bin Hamzah
Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia
 
PROFIL

Y.Bhg Dato' Hashim bin Hamzah dilahirkan pada 26 Disember 1961 di Pulau Pinang. Beliau menerima pendidikan awal di Alor Setar, Kedah dan kemudiannya melanjutkan pelajarannya ke Tingkat 4 hingga Tingkatan 6 di Maktab Tentera DiRaja, Sg. Besi, Kuala Lumpur. Beliau adalah penerima Hadiah Komandan 1980 Maktab Tentera DiRaja sebagai pelajar terbaik keseluruhan dalam bidang akademik dan ketenteraan. Beliau kemudiannya meneruskan pengajiannya di dalam jurusan undang-undang di Universiti Malaya pada tahun 1980. Beliau telah mendapat Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dengan kepujian pada tahun 1985.

Beliau telah memulakan kerjayanya pada bulan Julai 1985 sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah. Seterusnya beliau bertugas sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Sungai Petani, Kedah pada tahun 1986 dan sebagai Majistret di Mahkamah Majistret Kulim, Kedah pada tahun 1987. Pada tahun 1989 beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Majistret Kanan di Mahkamah Majistret Alor Setar, Kedah.

Pada 1 Disember 1992 beliau telah dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya, Jabatan Peguam Negara di Negeri Perak Darul Ridzuan. Seterusnya bertugas sebagai Peguam Kanan Persekutuan/Ketua Unit Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara Cawangan Sarawak pada tahun 1999. Pada tahun 2002 beliau telah memegang jawatan sebagai Ketua Unit Pendakwaan/Timbalan Pendakwa Raya Negeri Kedah Darul Aman.

Pada 1 Julai 2003 Y.Bhg Dato' Hashim telah kembali semula bertugas di mahkamah. Beliau telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang. Seterusnya beliau dilantik sebagai Hakim Kanan Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak pada 2 April 2007 dan pada 2 Januari 2009 Y.Bhg Dato' Hashim telah dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Pendaftar, Mahkamah Persekutuan Malaysia. Pada 3 Mei 2010, beliau sekali lagi telah dinaikkan pangkat ke Jawatan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia

Y.Bhg Dato' Hashim telah mendirikan rumah tangga dengan Datin Fauziah binti Samsudin dan dikurniakan dengan 4 orang cahayamata.
 
ALAMAT

Pejabat Ketua Pendaftar
Mahkamah Persekutuan Malaysia
Aras 3, Istana Kehakiman, Presint 3
62506 PUTRAJAYA
+603 8880 3782 +603 8880 3886

0 comments:

Powered by Blogger.
Powered By Blogger